SEJARAH POKOK SENA DAN SEKOLAH KEBANGSAAN WAN ABDUL SAMAD

Daerah Pokok Sena berasal dari nama sepohon pokok iaitu Pokok Sena atau nama saintifiknya “PTEROCARBUS INDICUS”. Sejarah awal Daerah Pokok Sena dikesan melalui kisah kunjungan peneroka pertama iaitu Tuan Guru Haji Wan Abdul Samad seorang ulamak berasal dari Pattani, Thailand, sekitar awal tahun 1920 an. Telah diceritakan bahawa rombongan Tuan Guru Haji Wan Abdul Samad telah menyusuri Sungai Nawa sehingga tiba di satu tempat di mana terdapat sepohon Pokok Sena yang besar. Tuan Guru kemudiannya membangunkan tempat tersebut sebagai kawasan penempatan dan mendirikan sebuah sekolah pondok untuk mengajar ilmu agama kepada penduduk sekitaran. Pada waktu itu, sungai merupakan alat perhubungan utama. Pekan Pokok Sena terus berkembang dan muncul sebagai pengkalan persinggahan perahu dan tongkang yang mengangkut hasil dagangan dan barangan keperluan harian. Sebuah balai polis dibina untuk mengawal ketenteraman awam dan sebagai tempat memasung orang salah. Lokasi ini sekarang di kenali sebagai Kampung Pokok Sena Lama. Pembinaan infrastruktur jalan Pokok Sena ke Kuala Nerang telah mendorong Pekan Pokok Sena berpindah dari lokasi sekarang di Kampung Pokok Sena Lama ke kawasan sekitaran balai polis sediaada. 8 ranting dari pohon Pokok Sena yang asal telah di tanam di sepanjang jalan dari Kampung Aman sekarang ini hingga ke hadapan Sekolah Kebangsaan Gajah Mati. Pohon Pokok Sena yang terakhir di hadapan Balai Polis Pokok Sena telah ditebang pada pertengahan tahun 2006 untuk memberi laluan pembinaan lampu isyarat Pekan Pokok Sena. Sebagai mengenang jasa peneroka Allahyarham Tuan Guru Haji Wan Abdul Samad, Sekolah Kebangsaan Gajah Mati telah dinamakan sebagai Sekolah Kebangsaan Wan Abdul Samad pada 26 Mei 1983. Dahulunya Pokok Sena ini terletak dalam daerah Kota Setar namun telah dijadikan daerah baru iaitu Daerah Pokok Sena dan masih lagi ditadbir oleh Majlis Bandaraya Alor Setar. Keputusan mewujudkan daerah berkenaan bertujuan mengurangkan sedikit keluasan daerah Kota Setar yang terlalu besar merangkumi tiga kawasan Parlimen iaitu Kuala Kedah, Kota Setar dan Pokok Sena. Justeru, pengisytiharan sebagai daerah baru akan membantu melicinkan lagi pengurusan berkaitan pihak berkuasa tempatan selain memberi kesan mendalam terhadap gerak kehidupan harian masyarakat setempat. Pembinaan projek-projek infrastruktur yang merentasi daerah berkenaan dijangka merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di situ. Bagaimanapun, sebagai sebuah daerah baru, Pokok Sena masih berdepan banyak cabaran sebelum dapat mengecapi pembangunan yang seimbang dengan daerah-daerah lain di negeri ini. Projek menaik taraf jalan raya Persekutuan dari Alor Setar ke Durian Burung yang sedang dilaksanakan merupakan antara pemangkin pembangunan daerah Pokok Sena. Daerah ini akan mencapai kemajuan dan kesejahteraannya setanding dengan daerah-daerah lain. Secara umumnya, Pokok Sena merupakan daerah pertanian dengan melibatkan aktiviti utama iaitu penanaman padi dengan keluasan 2,816 hektar, getah (9,883 hektar), dusun (416 hektar) dan koko (2.5 hektar). Terdapat kira-kira 12 premis pelbagai jenis perusahaan ringan atau industri kecil khususnya yang berasaskan kayu dan memproses padi di daerah yang mendapat nama sempena nama tumbuhan 'Pokok Sena' itu. Daerah Pokok Sena sebagai sebuah daerah terbaru Negeri Kedah, kini sedang mengalami fasa pembangunan yang mencabar. Peningkatan drastik penduduk dan pertumbuhan perbandaran yang pesat, bakal merobah senario pembangunan daerah serta mampu mencipta permasalahan sosio, ekonomi dan politik yang mencabar. Justeru, Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena yang berfungsi sebagai back-bone mekanisma pentadbiran peringkat daerah, harus bersedia dan mampu menangani cabaran perubahan yang sedang dan akan berlaku. Bandar baru atau bandar terancang dibina untuk pembangunan penduduk yang kian bertambah dan bandar yang pesat membangun di Alor Setar. Bandar baru dibina untuk mengurangkan tumpuan penduduk dan juga dibina di kawasan belum membangun tidak jauh dari bandar Alor Setar. Tambahan itu, sebuah bandar baru dibina di Bandar Satelit Pokok Sena yang dijadikan bandar satelit bagi Bandaraya Alor Setar. Bandar ini dapat mengurangkan masalah kesesakan jalanraya dan populasi yang kian meningkat di Alor Setar sekali gus dijadikan bandar satelit. Bandar Baru Dua (Bandar Satelit) Bandar Tunku Puteri (Bandar Satelit) Bandar Sejahtera (Bandar Satelit) Kawasan-kawasan ini juga dibawah pentadbiran dan kelolaan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Daerah Pokok Sena walaupun sudah menjadi daerah baru. Antaranya: Pekan Pokok Sena (Pusat bandar daerah Pokok Sena) Mukim Bukit Lada Mukim Derang Mukim Gajah Mati Mukim Jabi Mukim Lesong Mukim Tualang Pekan Kampong Bukit (Mk. Bukit Lada) Pekan Bukit Payung (Mk. Gajah Mati) Pekan Kebun 500 (Mk.Jabi) Pekan Simpang Kebun 500 (kawasan Taman Indah)

No comments:

Post a Comment