Wednesday, February 4, 2026

Info Rancangan Makanan Tambahan (RMT) & Program Susu Sekolah (PSS) - Murid Tahun 1 2026

Pada 3 Februari 2026 yang lalu, Jawatankuasa Program Susu Sekolah (PSS) SKWAS telah mengadakan taklimat khas untuk murid Tahun 1 berkaitan pelaksanaan program tersebut di sekolah. Program dimulakan dengan taklimat oleh PK HEM, diikuti Guru RMT yang memberi pendedahan kepada murid tentang kepentingan pemakanan seimbang. Seterusnya, Penyelaras PSS sekolah mengadakan demonstrasi proses agihan susu di SKWAS serta penerangan tatacara minum susu yang betul bagi memastikan murid dapat mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat sejak dari awal persekolahan. Program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran murid tentang kepentingan pemakanan seimbang dan pengambilan susu untuk pertumbuhan dan perkembangan mereka.

PROGRAM 5 MINIT INFO PPDA

Program INFO 5 Minit PPDA ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran murid tentang bahaya penyalahgunaan dadah serta kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental. Melalui perkongsian ringkas tetapi padat, murid didedahkan dengan maklumat asas berkaitan kesan negatif dadah terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Diharapkan program seumpama ini dapat membantu membentuk jati diri murid yang lebih berdisiplin, berpengetahuan dan mampu membuat keputusan yang bijak dalam kehidupan seharian.
#SKWASbencidadah

MAJLIS LAMBAIAN KASIH SANJUNGAN JASA - PERSARAAN CIKGU AZLINA

Tanggal 29 Januari 2026 menjadi saksi detik penuh emosi dalam Majlis Lambaian Kasih, Sanjungan Jasa sempena Persaraan Cikgu Azlina yang diadakan di Dewan Pendita Za’ba, SKWAS. Majlis ini bukan sekadar perpisahan, tetapi satu tanda kasih dan penghargaan atas segala ilmu, bimbingan dan kenangan indah yang telah ditinggalkan oleh Cikgu Azlina sepanjang bergelar pendidik. Seluruh warga sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Cikgu Azlina atas segala jasa, pengorbanan dan dedikasi yang telah dicurahkan tanpa jemu. Segala kenangan, tunjuk ajar dan nilai murni yang dititipkan akan terus terpahat dalam ingatan serta menjadi panduan buat kami semua. Walau langkah perkhidmatan telah sampai ke noktahnya, jejak bakti Cikgu Azlina akan sentiasa hidup dalam setiap kejayaan anak-anak didik yang pernah disentuh dengan penuh kasih sayang. Semoga Allah SWT mengurniakan Cikgu Azlina kesihatan yang baik, ketenangan jiwa serta kebahagiaan berpanjangan di fasa kehidupan yang baharu ini. Didoakan agar setiap ilmu dan kebaikan yang telah dicurahkan menjadi amal jariah yang berterusan, dilimpahi rahmat dan keberkatan, serta sentiasa berada dalam lindungan-Nya. Amin.

PENYERAHAN BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN 2026

Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 SK Wan Abdul Samad telah diadakan pada 28 Januari 2026 dengan penglibatan semua waris murid SKWAS. Majlis ini bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam membuat persediaan awal persekolahan anak-anak. Majlis berlangsung dengan lancar dan teratur hasil kerjasama padu daripada pihak pentadbir, guru-guru serta sokongan waris murid. Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan majlis ini. Diharapkan bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan menjadi pemangkin semangat kepada murid-murid untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan bagi sesi persekolahan 2026.