Sunday, March 29, 2026

MAJLIS PENUTUP PROGRAM IHYA RAMADAN & MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERINGKAT SKWAS

Majlis Penutup Program Ihya’ Ramadan peringkat SK Wan Abdul Samad telah berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna pada 17 Mac yang lalu. Program ini merupakan kemuncak kepada pelbagai aktiviti yang telah dijalankan sepanjang bulan Ramadan dalam usaha menyemarakkan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan warga sekolah.
Majlis dimulakan dengan Majlis Khatam Al-Quran yang melibatkan penyertaan murid-murid serta guru-guru. Suasana penuh syahdu dan harmoni jelas terasa apabila para peserta bersama-sama menyempurnakan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai tanda kesyukuran dan pencapaian sepanjang bulan yang mulia ini.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan acara penyampaian hadiah kepada murid-murid yang telah menunjukkan komitmen dan bakat dalam pelbagai pertandingan yang dianjurkan sepanjang Program Ihya’ Ramadan. Antara pertandingan yang telah dijalankan termasuklah pertandingan nasyid solo, khat dan hafazan. Penyertaan yang memberangsangkan daripada murid-murid jelas mencerminkan kesungguhan mereka dalam mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat.
Secara keseluruhannya, majlis penutup ini bukan sahaja menjadi penutup rasmi kepada program, malah turut meninggalkan kenangan manis serta memberi inspirasi kepada semua warga sekolah untuk terus mengamalkan nilai-nilai murni yang telah dipupuk sepanjang Ramadan.

No comments:

Post a Comment