Monday, August 25, 2025

🌿✨ GOTONG-ROYONG MADANI SKWAS ✨🌿

Alhamdulillah, Program Gotong-Royong Madani di sekolah kita telah berlangsung dengan jayanya pada Sabtu, 23 Ogos 2025 yang lalu. Terima kasih kepada semua guru, murid, ibu bapa dan masyarakat setempat yang bersama-sama menceriakan dan membersihkan kawasan sekolah.

Semangat kerjasama ini mencerminkan nilai Madani – hormat, ihsan dan kasih sayang. Semoga usaha murni ini berterusan demi persekitaran sekolah yang ceria, bersih dan kondusif. 







PROGRAM PEMBANGUNAN INSANIAH PEMIMPIN MUDA SK WAN ABDUL SAMAD 2025 : MEMUPUK GENERASI BERKARISMA




Pada 16 Ogos 2025 yang lalu, SK Wan Abdul telah menganjurkan Program Pembangunan Pemimpin Muda yang melibatkan pelajar-pelajar yang memegang jawatan kepimpinan seperti pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, pembimbing rakan sebaya, ketua kelas dan penolong ketua kelas.

Program ini bertujuan untuk:
✅ Meningkatkan keyakinan diri
✅ Mengasah kemahiran komunikasi dan kepimpinan
✅ Memupuk semangat kerjasama dan tanggungjawab

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program termasuk sesi motivasi, aktiviti berkumpulan, dan latihan simulasi kepimpinan yang menyeronokkan.




Tahniah kepada semua peserta yang menunjukkan semangat dan komitmen sepanjang program! Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dijadikan bekal untuk memimpin dengan lebih berkesan di sekolah dan pada masa hadapan. 💪🎓


Sunday, August 17, 2025

Selamat Bertugas di Tempat Baharu, Puan Maziah!

 Pada 14 Ogos 2024, warga SKWAS telah berkumpul dalam satu majlis ringkas tapi penuh makna — Majlis Perpisahan Puan Maziah, Ketua Kerani kesayangan kami yang akan bertukar ke tempat baharu.

Walaupun bukan kali pertama kami berdepan dengan perpisahan, kali ini terasa sedikit berbeza. Puan Maziah bukan sahaja seorang staf pentadbiran yang sangat cekap dan berdedikasi, tetapi juga seorang yang sangat disenangi oleh semua — baik guru, murid mahupun rakan sekerja.

Sepanjang bertugas di sekolah ini, beliau sentiasa menunjukkan sikap profesional, sabar, dan mesra. Banyak urusan sekolah yang berjalan lancar hasil kecekapan dan komitmen tinggi beliau.

Majlis perpisahan yang diadakan turut diisi dengan ucapan-ucapan istimewa dan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan kami. Walaupun suasana ceria, jelas terpancar rasa sebak dalam kalangan warga sekolah kerana akan kehilangan seorang rakan sekerja yang begitu bermakna.

Kami di SKWAS mendoakan agar Puan Maziah terus cemerlang dan bahagia di tempat baharu. Semoga hubungan yang terjalin di sini akan kekal sebagai kenangan manis sepanjang hayat.

Selamat maju jaya, Puan Maziah! Jasamu tetap dikenang.


 






Monday, August 11, 2025

Majlis Penyampaian Badge Sifar Ponteng & Hadir Awal (Fasa 1) : Penghargaan Buat Murid Berdisiplin

 Pada 10 Ogos 2025, telah berlangsung Majlis Penyampaian Badge Sifar Ponteng dan Hadir Awal bertempat di Dewan Munsyi Abdullah. Majlis ini diadakan bagi memberi penghargaan kepada murid-murid yang menunjukkan tahap disiplin yang tinggi dengan rekod kehadiran penuh tanpa ponteng dan sentiasa hadir awal ke sekolah sepanjang tempoh yang ditetapkan.

Seramai 76 orang murid tahap 2 telah menerima badge khas sebagai simbol pencapaian dan motivasi agar terus mengekalkan sikap positif ini. Penyampaian badge telah disempurnakan oleh Puan Normala Binti Kamarudin.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Sifar Ponteng di bawah Unit Hal Ehwal Murid yang bertujuan untuk memupuk budaya hadir ke sekolah dengan konsisten, tepat waktu, dan penuh rasa tanggungjawab.

Pihak sekolah berharap agar usaha ini dapat memberi inspirasi kepada semua murid untuk mencontohi rakan-rakan yang berjaya, serta memperkukuh budaya kehadiran yang cemerlang demi kejayaan masa depan.


Tahniah diucapkan kepada semua penerima badge!
#SifarPonteng #HadirAwal #DisiplinAsasKejayaan #SekolahKitaHebat

TAHNIAH PASUKAN BICARA BERIRAMA SKWAS!

Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Pasukan Bicara Berirama SKWAS kerana telah berjaya merangkul Tempat Keempat dalam Karnival MBMMBI Peringkat Daerah Kota Setar yang telah berlangsung pada 6 Ogos 2025.

Kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih para peserta, komitmen jurulatih, serta sokongan padu daripada warga sekolah. Persembahan yang ditampilkan bukan sahaja menonjolkan keindahan B
ahasa Melayu, tetapi juga memperlihatkan semangat kerjasama dan disiplin tinggi dalam kalangan murid.

Semoga pencapaian ini menjadi pembakar semangat kepada semua untuk terus cemerlang dalam bidang kokurikulum dan akademik. Teruskan usaha dan kecemerlangan!

#SekolahKitaHebat #BicaraBerirama #MBMMBI

Monday, August 4, 2025

Penyerahan Bantuan KWAMP SKWAS

Hari ini, 4 Ogos 2025, SKWAS telah mengadakan majlis penyerahan bantuan KWAMP kepada murid-murid yang memerlukan. Bantuan ni bertujuan untuk membantu keluarga yang kurang mampu supaya anak-anak mereka dapat terus belajar dengan selesa tanpa beban kewangan.

Majlis dihadiri oleh ibu bapa, penjaga, guru-guru dan juga murid yang terlibat. Pihak sekolah sangat berharap bantuan ini dapat meringankan sedikit beban dan memberikan peluang yang sama untuk semua pelajar terus berjaya dalam pelajaran. Semoga dengan sokongan ini, semua murid lebih fokus dan bersemangat untuk capai kecemerlangan. 





🌟 Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2025 Peringkat SKWAS🌟

Ogos menjelma mengingatkan peristiwa besar dalam sejarah tanah air kita. Dikesempatan itu, SKWAS telah mengadakan pelancaran Bulan Kemerdekaan dengan penuh semangat! 🇲🇾

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu patriotik yang mengingatkan kita akan perjuangan bangsa. PK Kokurikulum, Encik Lamzi bin Saad dalam ucapannya mengajak kita semua menghargai kemerdekaan dan semangat perpaduan.

Tema sambutan tahun ini, “Malaysia MADANI, Rakyat Dsantuni”, mengajak setiap pelajar dan guru untuk terus menanamkan semangat patriotisme dalam diri. 🎉

Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sepanjang bulan ini, seperti pertandingan sajak patriotik, koir kemerdekaan, kuiz sejarah, dan banyak lagi! 🎨📚

Marilah bersama-sama kita menyemarakkan semangat kemerdekaan dan perpaduan. Merdeka!









#Kemerdekaan2025 #Merdeka #SemangatPatriotisme #SKWASSederapMemacuTransformasi

Sunday, August 3, 2025

Hebahan Pentaksiran Kompetensi dan Literasi (PKL) 2025

 Dimaklumkan bahawa Pentaksiran Kompetensi dan Literasi (PKL) 2025 sedang berlangsung bermula 13 Julai hingga 4 September 2025 sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menilai tahap kecekapan murid dalam aspek literasi, numerasi, dan pemikiran kritis.

Pentaksiran ini di peringkat Sekolah Rendah (SR) menyasarkan murid-murid Tahun 4, Tahun 6 seluruh negara, dan akan dijalankan secara dalam talian. Di peringkat SKWAS semua murid tahap 2 diberi tempoh menjwab PKL25 sehingga 30 Ogos 2025.

🎯 Tujuan PKL:
Menilai keupayaan murid menggunakan ilmu dalam situasi harian secara bermakna, bukannya sekadar menghafal fakta.

Diharapkan semua murid bersedia dan memberikan kerjasama sepenuhnya semasa pentaksiran ini dijalankan. Ibu bapa juga digalakkan untuk memberi sokongan dari segi pemantauan dan galakan kepada anak-anak.